Khalwat dan suluk harus dilihat secara zahir dan batin. Khalwat zahir
ialah apabila seseorang mengambil keputusan untuk memisahkan dirinya daripada
dunia, memencilkan dirinya di dalam satu ruang yang terpisah daripada orang
ramai supaya manusia dan makhluk di dalam dunia selamat daripada kelakuan dan
kewujudannya yang tidak diingini. Dia juga berharap agar dengan berbuat
demikian sumber kepada kewujudan yang tidak diingini, egonya dan hawa nafsu
badannya akan terpisah daripada bekalan hariannya dan terhenti juga segala yang
memuaskan dan mengenyangkannya. Seterusnya dia berharap pengasingan itu akan
mendidik egonya dan seleranya, memberi peluang kepada perkembangan diri
rohaninya.
Bila seseorang memutuskan demikian niatnya
mestilah ikhlas. Dalam satu segi dia seumpama meletakkan dirinya di dalam
kubur, dalam keadaan mati, mengharapkan semata-mata keredaan Allah, berhasrat
dalam hatinya melahirkan yang asli dan beriman, yang boleh lahir daripada
kewujudannya yang hina ini. Nabi s.a.w bersabda,"Yang
beriman adalah yang orang lain selamat daripada tangan dan lidahnya".
Dia mengikat lidahnya dari berkata yang sia-sia
kerana Nabi s.a.w bersabda, "Keselamatan
manusia datang dari lidah dan kebinasaannya juga dari lidah". Dia menutupkan
matanya daripada yang diharamkan agar pandangannya yang khianat dan menipu daya
tidak jatuh ke atas apa yang dimiliki oleh orang lain. Dia menutup telinganya
dari mendengar pembohongan dan kejahatan, dan mengikat kakinya, membelenggunya
dari pergi kepada dosa.
Nabi s.a.w bersabda menceritakan setiap anggota
badan boleh melakukan dosa sendirian, "Mata
boleh berzina". Bila salah satu daripada pancaindera berdosa
satu makhluk hitam yang hodoh diciptakan daripadanya dan pada hari pembalasan
ia menjadi saksi terhadap dosa yang kamu lakukan. Kemudian ia dicampakkan ke
dalam neraka.
Tuhan memuji orang yang menghindarkan dirinya
daripada kesalahan kerana yang demikian merupakan penyesalan yang sebenar,
taubat yang kuat.
"Adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya,
dan menegah diri daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurga itu tempat
kembalinya". (Surah
an-Naazi'aat, ayat 40 & 41).
Orang yang takutkan Tuhannya dan bertaubat,
mengeluarkan kewujudannya yang hina daripada yang beriman dan mengeluarkan
keburukannya daripada imannya, ditukarkan di dalam khalwatnya, sehingga jadilah
ia jejaka tampan. Kewujudan yang elok ini menjadi khadam kepada penghuni syurga.
Mengasingkan diri adalah benteng menghalang musuh
bagi dosa diri sendiri dan kesalahan. Di dalamnya, sendirian, seseorang
terpelihara di dalam kesucian. Firman Allah:
"Barangsiapa percaya akan pertemuan Tuhannya hendaklah
ia kerjakan amal salih dan janganlah ia sekutukan seseorang jua dalam ibadat
kepada Tuhannya". (Surah al-Kahfi,
ayat 110).
Semua yang diceritakan hingga kini adalah maksud
bagi suasana khalwat zahir. Maksud khalwat batin pula ialah mengeluarkan dari
hati walaupun hanya memikirkan hal keduniaan, kejahatan dan ego, meninggalkan
makan, minum. Harta, keluarga, isteri, anak-anak dan perhatian serta kasih
sayang semuanya.
Anggapan orang lain melihat atau mendengar
tentangnya jangan masuk kepada khalwat ini. Nabi s.a.w bersabda,"Kebesaran
dan apa yang diburunya adalah bala, dan melarikan diri daripada kebesaran dan
mengharapkan pujian orang dan apa yang dibawanya adalah keselamatan.". Orang yang
bercadang memasuki khalwat batin mestilah menutupi hatinya daripada kemegahan,
sombong, takabur, marah, dengki, khianat dan yang seumpamanya. Jika sebarang
perasaan yang demikian masuk kepadanya di dalam khalwatnya hatinya menjadi
terikat. Ia tidak lagi terlepas daripada dunia dan khalwat demikian tidak
berguna. Sekali kekotoran memasuki hati ia kehilangan kesuciannya dan semua
kebaikan terbatal.
"Apa yang kamu bawa itu sihir, sesungguhnya Allah akan
membatalkannya (kerana) Allah itu tidak membaguskan amal orang-orang yang
berbuat bencana". (Surah Yunus, ayat 81).
Walaupun perbuatan seseorang itu kelihatan bagus
pada pandangan orang lain, bila sifat-sifat buruk memasukinya, orang itu
dianggap berlaku khianat dan menipu dirinya sendiri dan juga orang lain. Nabi
s.a.w bersabda, "Sombong
dan takabur mencemarkan iman. Fitnah dan umpatan lebih buruk dari dosa zina". Juga,"Sebagaimana
api membakar kayu dendam membakar dan menghapuskan perbuatan baik seseorang". Juga,"Fitnah
itu tidur, laknati ke atas siapa yang mengejutkannya". Juga, "Orang
yang bakhil tidak masuk syurga walaupun dia habiskan umurnya dengan ibadat". Juga, "Kepura-puraan
adalah bentuk sembunyi mengadakan sekutu bagi Tuhan". Juga, "Syurga
menolak orang yang menolak orang lain".
Banyak lagi tanda-tanda sifat buruk yang dikutuk
oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang dinyatakan sudah memadai untuk menunjukkan
kepada kita bahawa dunia ini adalah tempat yang memerlukan berterusan di dalam
berhati-hati dan berwaspada, perlu berjalan melaluinya dengan penuh cermat dan
perhatian. Matlamat pertama jalan kerohanian ialah menyucikan hati dan langkah
untuk memperolehinya ialah membenteras keegoan dan keinginan hawa nafsu. Di
dalam khalwat, dengan berdiam diri, bertafakur dan berzikir terus menerus, ego
seseorang diperbaiki. Kemudian Allah Yang Maha Tinggi menjadikan hati seseorang
itu bercahaya.
Tiada yang dilakukan di dalam khalwat secara
perbuatan sendiri. Apa yang perlu ialah cinta, ikhlas dan keyakinan yang
sebenar. Cara ini bukan cara orang tersebut sendiri. Dia menuruti cara para
sahabat Rasulullah s.a.w, cara orang-orang yang mengikuti mereka dan cara orang
yang mengetahui cara mereka dan mengikutinya.
Bila orang yang yakin berada pada jalan ini
menurut jalan taubat, ilham dan menyucikan hatinya, Allah mencabut dari hatinya
dan dirinya segala yang merosakkan dan yang keji dan melindunginya agar dia
tidak kembali kepadanya. Wajahnya akan menjadi cantik; perasaannya, samada
dipendamkan atau dizahirkan, menjadi tulen. Apa sahaja yang dia lakukan dilakukannya
dengan cara yang terpuji kerana dia berada di dalam kehadiran Ilahi."Allah
mendengar orang yang memuji-Nya". Jadi, Allah menjaganya. Allah menerima doanya,
kerinduannya dan puji-pujiannya dan mengabulkan segala keinginannya.
"Barangsiapa mahukan kemuliaan maka bagi Allah jualah
semua kemuliaan. Kepada-Nya naik perkataan yang baik, amal yang salih itu Dia
angkat". (Surah Fatir, ayat 10).
Perkataan yang baik menyelamatkan lidah daripada
perkataan yang sia-sia. Lidah adalah alat yang baik untuk memuji Tuhan,
mengulangi nama-nama-Nya yang indah, memperakui keesaan-Nya. Allah memberi
amaran terhadap perkataan yang sia-sia:
"Tidak sekali-kali! Sesungguhnya yang demikian
perkataan yang ia ucapkan padahal di belakang mereka satu dinding hingga hari
mereka dibangkitkan (mereka tidak benar dalam perkataan mereka)". (Surah Mukminuun,
ayat 100).
Allah mengurniakan keampunan-Nya, kasihan
belas-Nya kepada orang yang belajar dan mengamalkannya dengan niat yang baik.
Dia membawanya hampir dengan membawanya kepada darjat yang lebih tinggi. Dia
reda kepadanya, Dia maafkan kesalahannya.
Bila seseorang telah dinaikkan kepada darjat itu
hatinya menjadi seperti laut. Bentuk dan warna laut itu tidak berubah kerana
sedikit Kekejaman dan penganiayaan yang orang ramai Buangkan kepadanya. Nabi
s.a.w bersabda, "Jadilah
seperti laut yang tidak berubah, tetapi di dalamnya tentera gelap (ego) kamu
akan lemas", seperti Firaun lemas di dalam Laut Merah. Dalam
lautan itu kapal agama timbul dengan selamat dan sejahtera, ia berlayar di
dalam lautan yang luas itu. Roh orang yang di dalam khalwat terjun ke dasarnya
untuk mendapatkan mutiara kebenaran, membawa ke permukaan mutiara kebijaksanaan
(makrifat) dari batu karang budi pekerti dan menyebarkannya ke tempat yang
jauh. Firman Allah:
"Keluar
daripadanya mutiara dan marjan (batu karang)". (Surah ar-Rahmaan, ayat 22).
Untuk memelihara lautan tersebut zahir kamu
mestilah sama dengan batin kamu, diri kamu mestilah sama dengan apa yang
kelihatan pada diri kamu. Suasana zahir dan suasana batin kamu mestilah satu.
Bila ini terjadi, tiada lagi penipuan, hasutan atau kekacauan di dalam laut
hati kamu. Tiada ribut nakal yang boleh memabukkan di dalam lautan yang tenang
itu. Orang yang memperolehi suasana tersebut berada di dalam keadaan taubat
sepenuhnya; ilmunya luas dan bermanfaat, perbuatannya semuanya adalah khidmat
untuk orang lain, hatinya tidak mengalir kepada kejahatan. Jika dia tersilap
atau lupa dia dimaafkan kerana dia ingat bila dia lupa dan bertaubat bila dia
bersalah. Dia berada dalam kehampiran dengan Allah dan dirinya sendiri.
-Taman Sufi.
Laut aku - sentiasa bergelora..
semenjak lama dulu..
dan sebab kenapa
aku mula menulis di sini..